Jun 20, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Financial Times melaporkan baru-baru ini terdapat artikel yang menyatakan para penganalisis mula berhadapan dengan kesukaran akibat daripada Forex yang tidak memberi respon terhadap faktor-faktor fundamental seperti dahulu. Melihat pada ketidaktentuan yang sedang berlaku di pasaran kewangan global, mood risiko para pelabur mendominasi, dan di suatu sudut segalanya akan ditentukan oleh tindakan para penggubal dasar mengenai pelonggaran kuantitatif (QE) serta sokongan terhadap pasaran saham, manakala di sudut yang berbeza pula, kebimbangan terhadap gelombang wabak COVID-19 yang baru. Kebimbangan ini semakin memuncak akibat jangkitan coronavirus yang baru di China serta pertambahan bilangan jangkitan di negeri-negeri di AS.
    Kekeliruan dalam kalangan pelabur ini jelas kelihatan pada carta EUR/USD. Berlakunya trend mendatar pada awal minggu, kemudian naik sebanyak 150 mata, diikuti pula dengan penurunan “bertangga” sebanyak empat kali. Akhirnya, pasangan ini berada 80 mata lebih rendah berbanding paras permulaan sepanjang lima hari iaitu pada 1.1180. (Jika diingat dua minggu lalu, amplitud turun naik terakhir yang dicatatkan pasangan ini hanyalah 30 mata dan memihak kepada dolar);
  • GBP/USD. Sikap optimis mengenai hasil mesyuarat Bank of England pada hari Khamis 18 Jun dengan pantas menghilang. Sesetengah pelabur telah menjangkakan pertambahan sebanyak £200 bilion pada program pembelian bonus di pasaran terbuka serta kemungkinan pengurangan kadar faedah. Namun, kedua-duanya tidak berlaku. Para penggubal dasar mengekalkan kadarnya pada 0.1% serta menambah pembelian aset melalui program pelonggaran kuantitatif (QE) berjumlah £745 bilion daripada £645 bilion. Pembelian yang dibuat kini melebihi £13 bilion seminggu, justeru pertambahan jumlah sebanyak £100 bilion adalah hanya untuk 8 minggu QE saja.
    Walaupun terdapat kenyataan optimis mengenai keadaan ekonomi British, namun hakikatnya masalah berkenaan sokongan dibiarkan terbuka oleh Bank of England dengan mengatakan mereka akan mengambil langkah-langkah yang tertentu. Keputusan ini tidak menyenangkan pasaran dan telah menyebabkan pound dijual secara besar-besaran, dan akibatnya pasangan ini turun ke paras 1.2350 menjelang hujung minggu;
  • USD/JPY. Permintaan secara aktif terhadap Yen sebagai aset kewangan selamat yang berlaku sejak 8 hingga 12 Jun kian berkurangan. Hasilnya, pasangan ini kembali ke zon di saluran jangka sederhana yang agak panjang yang bermula pada bulan April, dan bergerak di sepanjang koridor sempit antara 106.55-107.65 sepanjang minggu, dan kemudian mengakhiri sesi dagangan pada paras 108.65;
  • Matawang Kripto. Bitcoin terus menjadi senjata Trump dalam konfrontasi menentang lawan beliau di Amerika Syarikat. Pada tahun 2018, Donald Trump telah mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin untuk menamatkan dagangan bitcoin. Setahun kemudian, Mnuchin meneruskan serangan beliau ke atas aset bitcoin dengan menggelarnya sebagai alat untuk menggubal wang haram. Kini, ketua editor majalah Forbes Steve Forbes juga menggelar bitcoin sebagai sebuat alat, namun dalam nada yang positif. Menurut beliau, matawang kripto adalah kemajuan teknologi yang “mahukan perhatian” dan salah satu alat bagi menghalang ketidakstabilan polisi ekonomi yang dikejar-kejar kerajaan dengan mengambil jalan mudah mengagihkan pinjaman percuma dan pelonggaran kuantitatif.
    Bagi aset kripto yang berbaloi untuk dilaburkan semasa saat-saat getir ini, sesetengah penganalisis memanggilnya sebagai stablecoin - matawang kripto dengan nilai mengikut harga logam berharga ataupun wang fiat, kebiasaannya mengikut nisbah 1:1 - sebagai contoh, satu stablecoin bersamaan dengan satu dolar. Kripto paling popular dalam segmen digital ini ialah Tether (USDT) - coin yang menduduki tangga keempat dari segi jumlah modal pasaran. Menurut Messari, jumlah coin digital stabil yang telah dikeluarkan kini mencecah $11 bilion, peningkatan sebanyak 100% sejak Februari.
    Walau bagaimanapun, perjalanan stablecoin masih lagi jauh jika dibandingkan dengan bitcoin. Menurut portal analisis Blockchaincenter, secara puratanya 80.8% daripada keseluruhan carian Google berkenaan matawang kripto di seluruh dunia adalah mengenai BTC. Ia diikuti dengan Ethereum sebanyak 13.7%, manakala tempat ketiga adalah Ripple - 7.7%. Kenya (94.7%) dan Brazil (92.6%) mengambil kedudukan teratas dari segi populasi yang menunjukkan minat terhadap bitcoin. Poland menduduki tangga kesepuluh dengan jumlah sebanyak 86.4%. Amerika Selatan adalah benua yang paling meminati matawang kripto utama tersebut.
    Memang benar, bitcoin tidak memberi khabar gembira kepada para peminatnya sepanjang bulan Jun. Pasangan BTC/USD menunjukkan penurunan yang amat jelas, dan jika nilai $9,500 menjadi paras sokongan pada awal bulan, paras yang sama akan menjadi rintangan untuk sepuluh hari terakhir nanti.
    Jumlah modal pasaran kripto secara umumnya tidak berubah dengan jumlah $266 bilion pada 19 Jun berbanding $268 bilion seminggu sebelum itu. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga kekal dan kini berada di zon Fear - 39 berbanding 38 pada tujuh hari sebelumnya.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Telah berulang kali kami nyatakan, ramai pelabur yang melihat dolar sebagai matawang selamat jika mengikut pada keadaan semasa. Situasi wabak yang berterusan di Amerika Syarikat meningkatkan kebimbangan tentang gelombang baru coronavirus. Indeks S&P500 turun dari paras tertinggi bulan Mac di sekitar 3150, mencadangkan para pelabur masih berasa ragu-ragu jika pasaran saham mampu untuk pulih dalam masa terdekat ini.
    Dalam situasi ini, 65% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik serta 85% indikator pada H4 menjangkakan nilai dolar yang lebih kukuh dan penurunan pasangan ini ke paras 1.1100 pada awalnya, dan kemudian 100 mata lebih rendah.
    Hanya 35% penganalisis bersama-sama 15% pengayun pada H4 saja yang memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan dan memilih pertumbuhan pasangan tersebut. Sasaran bull yang paling hampir adalah 1.1350 serta paras tertinggi pada 9 Jun iaitu 1.1425.
    Berkenaan data makroekonomi yang akan dikeluarkan, statistik aktiviti perniagaan di EU dan juga Jerman akan diketahui pada hari Selasa 23 Jun, manakala data pasaran buruh serta KDNK di AS untuk suku pertama - pada hari Khamis 25 Jun. Laporan mesyuarat polisi kewangan ECB  juga akan diketahui pada hari yang sama;
  • GBP/USD. Selain daripada statistik di EU, Indeks Aktiviti Perkhidmatan Perniagaan UK (PMI) akan dikeluarkan pada hari Selasa 23 Jun. Mengikut ramalan, indikator ini mampu bertumbuh sehingga satu pertiga daripada kadar sekarang - 29.0 kepada 39.5. Secara prinsipnya, bergantung kepada perkembangan situasi ekonomi, Bank of England masih mempunyai masa sama ada untuk mengurangkan atau menambah jumlah pembelian bon di bawah program QE, atau jika mereka mahu menambah aset lain ke dalamnya. Kadar faedah negatif yang ingin diperkenalkan juga kekal menjadi senjata kukuh mereka. Namun para penggubal dasar dilihat hanya akan mengambil langkah tersebut sebagai jalan akhir jika ekonomi negara itu berada di ambang kejatuhan.
    Diharapkan langkah-langkah ini akan mengembalikan minat para pelabur terhadap matawang British. Sementara itu, kebanyakan penganalisis (60%) yang mendapat sokongan 85% pengayun serta hampir 100% indikator trend pada H4 dan D1 sedang menantikan trend penurunan pasangan GBP/USD yang berterusan ke paras terendah bulan Mei di sekitar 1.2070. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.2265 dan 1.2160.
    Analisis grafik pada D1 juga berpihak kepada bear. Namun pada H4, bersama-sama 40% lagi penganalisis serta 15% pengayun yang berada di zon lebihan jualan, mereka berpihak kepada bull. Paras rintangannya berada pada 1.2455, 1.2565 1.2650 dan 1.2800;
  • USD/JPY. Kebimbangan pasaran mengenai gelombang baru COVID-19 yang akan melanda ekonomi di A.S telah memberi kesan terhadap ramalan pasangan ini. Disebabkan itu, 60% penganalisis percaya bahawa potensi yen sebagai matawang selamat masih belum lagi berakhir, dan para pelabur lebih gemarkan matawang Jepun jika dibandingkan dengan dolar. Namun, pada pendapat mereka, pergerakan menurun tidak seharusnya akan berlaku, dan sasaran pasangan ini adalah untuk menghampiri paras 106.00. Paras sokongan yang seterusnya berada 100 mata lebih rendah, walau bagaimanapun, berkemungkinan besar ia tidak akan tercapai.
    40% penganalisis memilih pengukuhan dolar serta pertumbuhan pasangan ini, dan menjangkakan ia akan berada di zon 108.00. Rintangan paling hampir berada pada paras 107.65.
    Untuk analisis teknikal, 90% indikator trend pada H4 dan 100% pada D1 adalah berwarna merah. Gambarannya sedikit berbeza dalam kalangan pengayun. Di sini, 90% daripada mereka menunjukkan penurunan pada H4 manakala 70% menunjukkan trend sama pada D1, dan bakinya memberikan isyarat bahawa pasangan ini mempunyai lebihan jualan;
  • Matawang Kripto. Masih wujud perdebatan sama ada bitcoin adalah aset berisiko ataupun aset terlindung. Jika anda membandingkan carta BTC/USD dengan situasi yang berlaku di pasaran sekarang, kedua-duanya wujud. Sementara itu, bolehlah disimpulkan bahawa besar kemungkinan para pelabur akan menjual matawang kripto berbanding aset tradisional jika berlakunya kejatuhan teruk dan menyeluruh.
    Dalam masa yang sama, kita dapat melihat pertambahan minat pelabur-pelabur besar terhadap matawang kripto rujukan ini. Menurut perkhidmatan analisis Glassnode, bilangan “jerung” yang memiliki 1000 coin atau lebih dalam walet mereka kini menghampiri jumlah sama seperti pada penghujung 2017 semasa harga BTC hampir mencecah $20,000. Data oleh Chicago Mercantile Exchange (CME) turut mengesahkan aktiviti berkenaan opsyen bitcoin yang dijalankan institusi-institusi antara 10 Mei hingga 10 Jun meningkat sepuluh kali ganda. Semua ini menunjukkan selepas berakhirnya tempoh tenang beberapa minggu lalu, bolehlah kita jangkakan peningkatan mendadak turun naiknya, dan para “jerung” ini mampu mengubah arah pergerakannya pada bila-bila masa.
    Satu pendapat yang agak menarik telah dibuat oleh seorang pedagang dan penganalisis terkenal iaitu Tone Vays. Beliau percaya bahawa sentimen bearish yang sedang berlaku sekarang mampu memberi kesan positif terhadap pertumbuhan matawang kripto utama ini pada tahun 2021. Beliau berpendapat, To the moon yang tidak berlaku akan menyebabkan ramai orang marah dan mereka akan mula menjual bitcoin. To the moon bermaksud pertumbuhan berterusan kadar matawang kripto mengikut perkembangan geometri. Kurangnya perkembangan itulah yang akan melonjakkan nilai tersebut pada masa depan. Menurut penganalisis, “nilai bitcoin akan naik jika orang ramai membencinya.”
    “Jika harganya gagal melepasi $10,000, saya jangkakan nilainya akan terus menurun,” Vays membuat kesimpulan dalam temubual ForkLog beliau. – Jika menjelang akhir musim panas nilainya turun, saya merasakan ia akan berada di sekitar $7,000. Namun nilai matawang kripto utama ini tidak akan turun di bawah paras $6,000."
    Berkenaan situasi semasa, 55% penganalisis percaya pasangan ini masih mampu mengumpul kekuatannya untuk cuba berada di atas paras $10,000 sekali lagi, manakala pendapat baki 45% pula berbeza, mereka menunggu penurunan BTC ke paras di antara $8,500-8,800. Paras sokongan seterusnya mungkin berada di zon $8,350 iaitu purata pergerakan 200 hari coin ini.
    Selain daripada bitcoin, Ethereum baru-baru ini berjaya menarik perhatian para penganalisis: mengikut anggaran CoinMetrics, pertumbuhan transaksi yang berkaitan dengan coin itu telah mencecah paras tertinggi sepanjang 27 bulan. Kejayaan ini adalah disebabkan oleh jumlah transaksi aplikasi kewangan disentralisasi (DeFi) serta Tether Stablecoin (USDT) yang menggunakan blockchain Ethereum bertambah sebanyak 450% sejak awal 2020.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami