Jun 13, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Jika seseorang itu merasakan Amerika Syarikat telah berjaya menangani COVID-19, sangkaan mereka adalah salah. Bilangan mereka yang dijangkiti terus bertambah di 21 negeri, 14 negeri daripadanya telah mencatatkan rekod tertinggi. Demonstrasi anti perkauman di negara itu akan memburukkan lagi kesan jangkitan. Adakah ini gelombang kedua wabak tersebut? Adakah gelombang ketiga akan menyusul pada musim luruh nanti?
    Para pelabur yang menyangka bahawa masalah ekonomi di Amerika berpunca daripada coronavirus telah salah membuat perhitungan. Sikap optimis terhadap pasaran turun mendadak akibat daripada mesyuarat Rizab Persekutuan serta ucapan optimistik oleh Jerome Paull yang dibuat secara berhati-hati pada hari Rabu, 10 Jun. Pihak Rizab hanya berjanji akan meneruskan pelonggaran kuantitatif dengan jumlah yang ada sekarang, menambah lagi kemungkinan bahawa kadar diskaun akan dikurangkan kepada nilai sifar sehingga tahun 2022.
    Akibat daripada kurangnya stimulus tambahan oleh pihak Rizab serta gelombang baru yang berlaku di Texas, Arizona, California serta lain-lain negeri, ia telah menyebabkan penurunan sentimen risiko yang mendadak dan juga kejatuhan indeks saham yang teruk. Pada hari Khamis, 11 Jun, Dow Jones rugi 6.9 peratus, manakala S&P500 turun sebanyak 5.9 peratus, dan Nasdaq pula rugi 4.6 peratus.
    Keadaan bertambah teruk lagi disebabkan oleh kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Perbendaharaan AS Stephen Mnuchin yang mengatakan negara itu tidak boleh menjalani sebarang proses kuarantin lagi. Para pengulas serta-merta teringat mengenai jutaan nyawa yang terkorban akibat gelombang kedua “Spanish Flu” pada tahun 1920 adalah berpunca daripada keputusan kerajaan, mereka telah memilih pemulihan ekonomi berbanding pembendungan wabak.
    Para pelabur yang hilang minat terhadap aset berisiko telah menyebabkan pertambahan permintaan ke atas aset terlindung, bukan saja matawang dolar, malah euro, yen serta franc Swiss. Matawang yang lebih lemah dalam kalangan negara G10 juga turut terkesan, paling ketara adalah dolar New Zealand, Australia dan juga Kanada.
    Hakikat bahawa matawang euro dapat mengelak daripada mengalami kerugian dipermudahkan lagi oleh pelonggaran kuantitatif, pengurangan kadar jangkitan baru serta pemulihan aktiviti ekonomi di Eurozone.
    Hasilnya, bermula pada paras 1.1290, pasangan EUR/USD mengakhiri minggu pada paras 1.1260 dan memiliki kelebihan sebanyak 30 mata berbanding dolar;
  • GBP/USD. Matawang dolar yang semakin kukuh kedudukannya sebagai aset terlindung telah memberi kesan terhadap nilai pound. Pasangan ini jatuh menjunam bermula pada petang 10 Jun. Data mengenai kelembapan ekonomi yang sedang dialami negara itu yang diperoleh daripada Biro Statistik Kebangsaan British menunjukkan ia kian meruncing, dan mendorong lagi pergerakannya ke bawah. Akibat wabak COVID-19, KDNK di UK turun sebanyak 20.1% pada bulan April, dan 24.5% berbanding April tahun lalu. Penghasilan industri turun sebanyak 20.3%, hasil daripada sektor perkhidmatan (menyumbang kira-kira 80% daripada ekonomi) - turun 19%. Industri pembuatan jatuh hampir 25% pada bulan April.
    Risiko terhadap Brexit masih lagi serius, peluang rundingan mengenainya masih ada sehingga hujung tahun. Kerajaan British tidak mahu memanjangkan tempoh peralihan ke 2021, dan negara itu mengancam untuk keluar daripada EU secara paksa tanpa menyelesaikan isu-isu yang melanda.
    Semua ini membolehkan matawang AS mengukuh hampir 300 mata dalam tempoh tiga hari, dan mengakhiri minggu pada nilai 1.2520 dolar bagi setiap pound;
  • USD/JPY. Kebanyakan penganalisis (70%) pada minggu lalu memilih pasangan ini untuk kembali ke zon antara 107.00-108.00, dan ternyata ramalan tersebut 100% tepat.
    Matawang yen terbukti mendapat permintaan sebagai matawang selamat hampir sepanjang minggu. Bermula pada hari Isnin sehinggalah tengah hari Jumaat, ia mendahului dolar dan nilainya pulih sebanyak 305 mata tanpa mendapat sebarang tentangan. Namun, tidak semuanya indah seperti yang matawang yen sangkakan apabila berakhirnya minggu: dengan pertambahan selera risiko selepas sesi pasaran di Asia ditutup, paras pasangan ini meningkat, dan mengakhiri tempoh lima hari dengan berada pada paras 107.35 seperti yang dijangka penganalisis;
  • Matawang Kripto. Matawang kripto masih lagi sejenis matawang walaupun ianya berbentuk digital. Apa saja yang berkaitan dengan kewangan pasti menarik perhatian penjenayah. Baru-baru ini pihak berkuasa China menemui kawasan penghasilan kripto haram, dan lokasi penemuannya adalah… di tanah perkuburan. Namun berita mengenainya tidak begitu sensasi. Berita paling sensasi adalah pengasas Bitcoin, Yasutaka Nakamoto mungkin adalah salah seorang keldai dadah yang pernah bekerja dengan kartel Medellin sebelum ini. Setidak-tidaknya itulah dakwaan ketua Escobar Inc, Olaf Gustafsson, orang kanan Robert Escobar, adik kepada ketua kartel Pablo Escobar yang terbunuh pada tahun 1993.
    Yasutaka Nakamoto ialah seorang ketua jurutera di Pacific West Airlines, dia menggunakan tugas rasminya untuk membawa masuk dadah dari Amerika Selatan ke Amerika Syarikat. Selepas cubaan oleh bekas “majikan” untuk membunuhnya gagal, dia menghilangkan diri pada tahun 1992, namun selepas itu didakwa mula membangunkan bitcoin.
    Paling menarik, Yasutaka kononnya adalah abang kepada Dorian Nakamoto, seseorang yang digelar Newsweek sebagai pengasas matawang kripto pertama pada tahun 2014.
    Namun semua ini hanyalah khabar angin. Jika kita lihat pada angka sebenar, buah fikiran Nakamoto itu telah menunjukkan hasil yang agak baik untuk beberapa bulan ini: pasangan BTC/USD mengalami peningkatan kira-kira 140% berbanding paras terendah pada Mac lalu. Walau bagaimanapun, matawang utama tersebut gagal untuk berada di atas paras yang ditunggu-tunggu iaitu $10,000, dan cubaannya pada hari Rabu 10 Jun sekali lagi gagal. Setelah dapat melepasi garis yang diinginkan, pasangan BTC/USD turun ke paras $9,000 dengan serta-merta, rugi 10% dalam tempoh beberapa jam. Kemudian nilainya pulih sedikit, dan kembali ke zon tengah di saluran antara $9,000-10,000.
    Menurut sebilangan penganalisis, penyatuan di sekitar paras tersebut akan menghasilkan satu set posisi jangka sederhana yang besar. Baru-baru ini matawang kripto utama telah bergabung sedikit demi sedikit dengan aset terlindung tradisional, dan ini menunjukkan penerimaan oleh pelabur-pelabur besar secara berperingkat.
    Perkara ini boleh disahkan oleh laporan dari pelbagai organisasi. Menurut kaji selidik Fidelity Investments, tinjauan terhadap 774 pelabur berinstitusi di AS serta Eropah menunjukkan 36% memiliki bitcoin dan juga lain-lain aset kripto dalam portfolio mereka. Kami bercakap mengenai dana pencen, syarikat amanah, syarikat-syarikat perunding dan pelaburan, serta dana lindung nilai digital dan juga tradisional. Peratusan institusi kewangan di Amerika Syarikat yang memiliki matawang kripto dalam portfolio pelaburan mereka naik daripada 22% kepada 27% dalam tempoh setahun. Di Eropah, 45% responden memiliki pelaburan dalam aset kripto.
    Nampaknya syarikat-syarikat di Eropah lebih yakin terhadap matawang kripto, dan ia mungkin disebabkan oleh kadar faedah negatif dan juga krisis coronavirus yang memberi kesan negatif terhadap aset tradisional.
    Lebih daripada satu perempat syarikat yang menjalani tinjauan memilih bitcoin, manakala 11% daripada mereka melabur dalam Ethereum di mana kadar pertumbuhannya telah melangkaui BTC (+175% berbanding paras terendah bulan Mac). Namun begitu, beberapa kisah misteri telah dikaitkan dengan altcoin yang menerajui kedudukan ini pada minggu lalu.
    Kumpulan alamat yang mempunyai kaitan dengan MiningPoolHub telah membayar komisen sebanyak 2310 ETH ($538 ribu) untuk pemindahan 3221 ETH ($751 ribu). Ini adalah transaksi ketiga terbesar dalam rangkaian Ethereum dengan nilai komisen yang sebegitu tinggi. Sebelum ini, seorang pengguna yang tidak dikenali telah membayar 10,668 ETH ($2.6 juta) dalam bentuk komisen untuk transaksi sebanyak 350 ETH ($86 ribu). Sehari sebelum itu, orang yang sama telah membayar jumlah serupa iaitu 10,668 ETH ($2.6 juta) kepada kumpulan penghasil SharkPool untuk fi pemindahan sebanyak… 0.55 ETH ($133)!
    Menurut sebilangan penganalisis termasuklah pengasas Etherium Vitalik Buterin, transaksi-transaksi ini adalah ralat pada bot penggubalan wang haram.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Masih belum jelas sama ada permintaan terhadap aset berisiko akan bertambah pada minggu hadapan. Sebagai contoh, indeks niaga hadapan S&P500 yang jatuh menjunam pada Jumaat, 12 Jun menerima sokongan penuh pada paras purata sepanjang 200 hari. Kebanyakan daripada mereka bergantung kepada kejayaan menentang COVID-19, bukan saja di Amerika, malah di serata dunia, serta keputusan yang akan dibuat oleh pihak Rizab dan juga ECB. Tidak dilupakan juga mengenai hubungan antara Washington dan Beijing yang terjejas, serta perang harga di pasaran minyak. Sentimen para pelabur juga akan terkesan dengan kenyataan Jerome Powell yang akan berucap di Kongres A.S pada minggu depan. Bagi euro pula, mungkin terdapat sedikit risiko yang perlu ditanggung akibat daripada perselisihan pendapat mengenai langkah pemulihan dalam mesyuarat Majlis Kesatuan Eropah yang seterusnya.
    Buat masa ini, 60% penganalisis berpendapat pasangan EUR/USD tidak mampu untuk turun di bawah paras 1.1200. Jika benar, paras rintangannya berada pada 1.1425 dan 1.1500. Baki 40% yang disokong oleh analisis grafik pada H4 pula menunggu pasangan ini untuk kembali ke zon antara 1.0955-1.1000 dalam tempoh satu ke dua minggu lagi. Sokongan kukuh berada pada paras 1.1100. Harus diingat jika beralih ke ramalan untuk Julai, bilangan mereka yang menyokong pengukuhan nilai dolar meningkat kepada 65%.
    Bagi analisis teknikal, majoriti pengayun serta indikator trend pada D1 masih dipengaruhi oleh trend menaik bagi tempoh 15 Mei - 5 Jun dan berwarna hijau. Gambaran berbeza ditunjukkan sepenuhnya oleh H4, ia didominasi warna merah, walaupun 15% pengayun sudah pun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan;

  • GBP/USD. Menurut sebilangan penganalisis, April menjadi bulan dengan aktiviti ekonomi paling rendah di Great Britain. Walaupun keadaan ekonomi di negara itu tidak akan mencapai jumlah yang sama seperti sebelum krisis berlaku sehinggalah akhir 2022 atau awal 2023, perubahan positif yang agak jelas sudahpun menanti sektor itu pada suku ketiga tahun ini. Hakikatnya kesan positif ini juga adalah hasil kejayaan kerajaan dalam April.
    Dari perspektif seorang pelabur, minggu hadapan terbukti menjadi satu petunjuk penting dalam menilai ekonomi British. Data pasaran buruh di UK akan dikeluarkan pada hari Selasa, 16 Jun, data pasaran pengguna - hari Rabu, manakala pada hari Khamis, 18 Jun pula kita menantikan keputusan dari mesyuarat Bank of England. Penggubal dasar mungkin akan mengekalkan kadar faedah dengan nilai minimum sebanyak 0.1% dan menambah nilai program pembelian bon di pasaran terbuka daripada £645 bilion kepada £725 bilion sebagai sebahagian daripada pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Jika diingat nilainya hanyalah £435 bilion pada tiga bulan lalu, dan pengembangan sebanyak itu menjadi faktor positif terhadap ekonomi di UK.
    Dalam menantikan keputusan tersebut, pendapat penganalisis terbahagi seperti berikut: 45% daripada mereka beserta analisis pada H4 memilih pertumbuhan pasangan ini, manakala 35% lagi beserta analisis grafik pada D1 mahu melihat parasnya terus menurun, dan baki 20% memihak pada trend lateral di antara 1.2400-1.2645. Sasaran bull adalah pada paras 1.2815 dan 1.2900, sasaran bear pula - 1.2355, 1.2265 dan 1.2165.
    Dalam kalangan indikator, situasinya adalah seperti berikut: 75% berwarna merah pada H4, manakala peratusan pada D1 bertentangan sepenuhnya dengan pecahan bilangan indikator yang berwarna merah, hijau dan kelabu neutral adalah hampir sama;
  • USD/JPY. Perbezaan pendapat penganalisis untuk pasangan ini adalah hampir sama dengan GBP/USD: 40% memilih pertumbuhan dan kembalinya pasangan ini ke zon di antara 108.25-109.70, manakala 35% lagi memilih penurunan, dan baki 25% memilih trend mendatar. Namun bacaan analisis teknikal dilihat berbeza sepenuhnya: bertentangan dengan D4, dan hanya satu warna yang mendominasi D1 iaitu warna merah daripada 75% pengayun serta 90% indikator trend.
    Mengikut analisis grafik, pertama sekali ia menunjukkan pertumbuhan pasangan ke paras 108.00 pada H4, dan kemudian turun ke zon di antara 106.55-107.00 pada awalnya, dan kemudian turun lagi ke paras terendah bulan Mei iaitu di sekitar 106.00.
  • Matawang Kripto. - Pengasas bersama syarikat pelaburan Blockfyre Simon Dedic percaya bahawa lonjakan harga bitcoin akan terus berlaku sehingga matawang kripto utama itu mencecah nilai $150,000. Lebih-lebih lagi, bukan nilainya saja yang bertambah, nilai altcoin terkenal juga turut sama meningkat. “Pada tahun 2017, anda boleh beli mana-mana altcoin, dan ketika itu ia dianggap sebagai satu pelaburan bijak,” jelas Dedic. “Ia mungkin tidak akan berlaku lagi. Namun saya percaya nilainya akan melonjak, “mengangkat” altcoin ke kedudukan yang lebih kukuh: ETH - $9,000; LINK - $200; BNB - $500; VET – $1; XTZ - $200."
    - Timothy Peterson, seorang penganalisis di Cane Island Alternative Advisors meramalkan nilai BTC adalah separuh daripada itu. Setelah meneliti nilai bitcoin yang semakin pulih sejak mencecah paras terendah bulan Mac iaitu $3,600, beliau mendapati carta bitcoin “benar-benar mengikuti” pergerakan yang membawa kepada kemuncak nilainya pada tahun 2013 semasa paras BTC meningkat ke $1,300. Justeru, penganalisis tersebut menyimpulkan bahawa kita boleh jangkakan peningkatan nilai matawang kripto utama itu sebanyak 700% ke paras $75,000 tidak lama lagi.
    Buat masa sekarang, pasangan BTC/USD harus melakukan tugas yang menjadi kebiasaannya: untuk berada di zon antara $10,000-11,000. 55% penganalisis percaya pasangan ini mampu mencapainya menjelang akhir Jun, 15% memilih trend ke arah sisi pada julat di antara $9,000-10,000, manakala baki 30% lagi menentang dan mengunjurkan penurunan nilai BTC ke paras $8,000-8,500.
    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun ke paras 38 pada 12 Jun (dari paras 53 seminggu lalu) dan kini berada di Zon Fear. Menurut pengasas Indeks ini, para pedagang harus berhati-hati jika ingin membuka posisi long apabila keadaan pasaran berada pada bacaan tersebut.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami