Mac 28, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Turun naik pasangan ini untuk beberapa minggu lepas boleh disamakan dengan akrobatik: mula-mula, lompatan yang agak menegak sebanyak 630 mata, kemudian melompat lebih tinggi sebanyak 860 mata, dan kini terjunan sehingga 445 mata.
    Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penurunan mendadak nilai dolar. Paling utama adalah tindakan yang diambil oleh Rizab Persekutuan AS dalam mengurangkan kadar faedah mereka kepada 0.25% serta pelancaran beberapa program untuk menyokong ekonomi AS, jutaan dolar disuntik ke dalam pasaran serta mengagihkan wang kepada rakyat mereka. Akibatnya, penyata imbangan pihak Rizab kini mencapai rekod baru melebihi 4.5 trilion dolar, jika mengikut pengiraan ahli-ahli ekonomi, ia mungkin akan mencecah 6 trilion dolar. Hasilnya, indeks saham AS melonjak, indeks S&P500 naik sehingga 20%, membawa pasangan EUR/USD bersama-sama: para pelabur memberi reaksi positif terhadap langkah yang diambil oleh para pemimpin AS dan mula meninggalkan dolar sebagai aset selamat dan beralih kepada aset yang lebih menarik buat masa ini.
    Keputusan pihak ECB dalam hal berkaitan coronavirus juga turut membantu matawang Eropah itu. Sebelum ini, ECB tidak boleh membuat pembelian melebihi satu pertiga daripada keseluruhan jumlah hutang negara di bawah program pelonggaran kuantitatif (QE), namun kini pihak Bank telah meminda sekatan itu dan ia memberi kesan positif terhadap hasil bon-bon Euro serta menyumbang kepada pertumbuhan nilai matawang euro.
    Harus diingat 60% penganalisis menjangkakan kembalinya pasangan ini ke zon di antara 1.1000-1.1240 dalam tempoh sebulan, manakala 75% menjangkakannya dalam tempoh tiga bulan. Namun, seperti yang sedang berlaku, pandemik COVIC-19 telah menjadi pemangkin, berulang kali melancarkan proses di pasaran. Justeru, jangkaan tersebut telahpun berlaku: pasangan ini mencapai sasarannya dalam tempoh lima hari saja, bukan sebulan mahupun tiga bulan, terhenti pada 1.1140 sebagai paras terakhirnya pada hari Jumaat, 27 Mac;
  • GBP/USD. Indikator makroekonomi seperti indeks aktiviti perniagaan (PMI) menunjukkan ekonomi di UK mengalami penguncupan, dan Bank of England telah dua kali menurunkan kadar faedah serta meningkatkan jumlah pembelian bon sebanyak £200 bilion dalam tempoh dua bulan bagi melindungi ekonomi negara itu. Walau bagaimanapun, pada mesyuarat lepas, ketua-ketua penggubal undang-undang negara tersebut telah sebulat suara menentang penurunan kadar yang lebih rendah dan mengekalkannya pada kadar 0.1%. Mereka juga bersetuju untuk meneruskan jumlah pembelian bon yang kini berjumlah £645 bilion. Hal ini menunjukkan Bank of England menganggap segala langkah yang telah diambil adalah mencukupi.
    Kesan wabak coronavirus ke atas ekonomi UK hanya akan dapat dilihat dengan jelas apabila hasil bagi suku pertama 2020 dikeluarkan. Setakat ini, situasinya agak baik jika dibandingkan dengan EU dan juga AS. Sokongan terhadap matawang pound juga boleh disediakan sekarang kerana Kerajaan negara tersebut sudah mampu mencetak wang mereka sendiri tanpa perlu mendapat sebarang persetujuan daripada EU.
    Pasangan GBP/USD yang sedikit pulih pada minggu lalu dilihat lebih baik berbanding dengan pertumbuhan pasangan EUR/USD: nilai matawang pound British naik 830 mata berbanding dolar. Pada 20 Mac lepas, nilainya berada pada paras terendah sepanjang 230 (!) tahun lalu, dan 70% hingga 80% penganalisis menjangkakan nilai pound akan pulih setelah bertungkus-lumus berada di bawah dan kembali ke zon di antara 1.2725-1.3025 pada April-Mei nanti. Setakat ini ramalan itulah yang paling memuaskan: pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dengan mencapai sasarannya pada paras 1.2470;
  • USD/JPY. Akhir bulan Mac dilihat memberi kelebihan kepada matawang Jepun, di mana kebiasaannya nilai matawang itu bergantung kepada selera risiko para pelabur, harga minyak serta hasil bon kerajaan AS.
    Ramalan sebelum ini yang mendapat sokongan majoriti penganalisis ternyata hampir 99.9% tepat, jika bukan 100%. Jika menurut ramalan itu, pasangan ini seharusnya bergerak ke arah bawah menuju zon di antara 107.00-107.70. Ia memang berlaku: selepas beberapa kali membuat percubaan untuk melepasi rintangan pada 111.60, bull mengalah dan dengan pantas bear mengurangkan nilainya sebanyak 385 mata – ke paras 107.75, dan penurunan itu berakhir pada paras 107.95 apabila sesi dagangan berakhir;
  • Matawang Kripto. Kami telah nyatakan dalam ramalan sebelum ini bahawa nilai Bitcoin boleh digunakan sebagai indikator utama bagi sebilangan pasangan dolar. Puncanya adalah disebabkan oleh pasaran kripto yang tenang semasa ribut kewangan melanda mampu menjadi perantara bagi perubahan trend mahupun pembetulan yang kuat bagi EUR/USD. Menurut teori yang disuarakan, peralihan pasangan BTC/USD yang bergerak secara melintang dalam keadaan turun naik yang amat tinggi di pasaran lain mungkin menunjukkan dolar telah mencapai nilai kritikalnya, dan sebahagian spekulator tidak tahu apa tindakan mereka seterusnya, sama ada untuk menambah aset dolar dengan menjual BTC, atau menukar matawang fiat kepada matawang kripto.
    Sudah tentu semua ini hanyalah teori dengan pelbagai andaian, namun ia telah disahkan pada minggu lalu: carta menunjukkan pasaran kripto bergerak secara melintang manakala perubahan trend EUR/USD secara mendadak seperti yang diramal telah berlaku.
    Nilai Bitcoin melonjak tidak melebihi 9% sepanjang tujuh hari lepas, Ripple (XRP/USD) – naik 10%, Litecoin (LTC/USD) – naik 3%, dan kenaikan nilai Ethereum (ETH/USD) adalah kurang daripada 1%.
    Selain itu, pengasas bersama Ethereum Vitalik Buterin baru-baru ini membentangkan hala tuju pembangunan ETH untuk 5-10 tahun akan datang. Disamping itu, beliau menyeru supaya sambungan secara disentralisasi antara Ethereum dan juga lain-lain matawang kripto dibangunkan serta menghasilkan bursa disentralisasi (DEX) “sebenar” bagi BTC dan juga ETH. Walau bagaimanapun, melihat pada sebut harga Ethereum, idea beliau masih belum mendapat perhatian serta pelaburan para pelabur.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Setelah pulih daripada 50% kerugian yang dialami sepanjang dua minggu lalu, akhirnya pasangan ini kembali ke zon Pivot Point iaitu 1.1100, paras di mana ia sering dilihat berlegar-legar untuk beberapa bulan sebelum ini yang bermula pada penghujung Julai 2019. Ini bermakna pasaran masih tidak tahu apa yang mungkin akan berlaku terhadap coronavirus serta tindakan kerajaan untuk menghalang wabak tersebut.
    Buat seketika, kita dapat lihat peningkatan mendadak pada bilangan jangkitan di Amerika Syarikat, dan tiada siapa tahu sama ada Presiden Trump serta barisan pentadbiran beliau memiliki kekuatan dan kemampuan bukan saja untuk mengawal, malah untuk menambah baik situasi sedia ada secara serius ataupun tidak. Sebahagian besar wang yang disuntik pihak Rizab ke dalam ekonomi negara itu adalah untuk membayar manfaat pekerja dan juga bayaran sekali kepada individu yang dikuarantin… walhal mereka tidak akan dapat membelanjakannya. Akhirnya, wang tersebut tidak akan sampai ke dalam sektor ekonomi sebenar untuk masa terdekat ini. Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin mempamerkan sikap optimis beliau dengan berkata situasi yang berlaku sekarang belum mencapai tahap krisis kewangan. Namun, ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell sudahpun mengatakan ekonomi di AS kini berada “di ambang kemelesetan”, dan agenda yang bakal berlaku akan ditentukan oleh virus. Mungkin pada satu tahap kemerosotan ekonomi yang amat teruk akan menyebabkan zaman kemelesetan berlaku sekali lagi.
    Pendapat lain mengatakan situasi di Eropah juga sama. Keputusan yang dibuat oleh sidang kemuncak EU pada hari Khamis, 26 Mac disifatkan sebagai “begitu teruk” oleh sebilangan penganalisis. Wakil-wakil negara gagal mencapai kata sepakat, idea mengenai “corona bon” milik Eropah terkubur (setidak-tidaknya buat seketika), serta kesukaran ECB untuk mengekalkan kestabilan di kawasan Eropah. Menurut sebilangan penganalisis, perpecahan antara ahli-ahli kesatuan EU seperti itu akan mengehadkan peluang mereka untuk mengukuhkan nilai matawang Eropah.
    Buat masa ini, analisis grafik menunjukkan pertumbuhan, majoriti indikator juga melihat arah yang sama, dan hanya 15% pengayun pada H4 dan juga D1 yang memberi isyarat bahawa pasangan EUR/USD telah memiliki lebihan belian.
    Dalam kalangan penganalisis, majoritinya (60%) juga mahu melihat pertumbuhan pasangan ini terus berlaku, manakala baki 40% lagi memilih penurunan. Paras rintangan (mengambil kira kemeruapan semasa) adalah pada 1.1240, 1.1365 dan 1.1500, paras sokongan pula berada pada 1.1000, 1.0850, 1.0775 dan 1.0635. Akhir sekali, dua sasaran yang mungkin tidak akan dapat dicapai (walaupun semuanya tidak mustahil sekarang): bullish – 1.1800, bearish – 1.0550.
    Bagi indikator makroekonomi pula, data mengenai pengangguran serta pasaran pengguna di Jerman dan juga keseluruhan Eurozone akan dikeluarkan pada hari Isnin, 30 Mac dan Selasa, 31 Mac. Timbunan data pasaran buruh di AS akan tersedia pada separuh minggu terakhir. Boleh kami katakan apa yang diramal mengenainya akan mengundang kekecewaan. Sebagai contoh, bilangan pekerjaan yang ada di luar sektor agrikultur (NFP) dijangka akan menurun daripada 273K kepada negatif 123K;

  • GBP/USD. Setelah menilai prospek ekonomi British, ketua ahli ekonomi di IHS Markit, Chris Williamson hampir mengulangi apa yang dikatakan oleh Jerome Powell mengenai situasi di Amerika. “Kemelesetan ekonomi dengan skala yang belum pernah berlaku dalam sejarah dunia moden sebelum ini semakin hampir,” – itu adalah ramalan Williamson. Malah perpisahan UK daripada EU tidak memberi kesan negatif sebesar ini terhadap ekonomi mereka berbanding COVID-19.
    Dalam konteks ini, walaupun menurut ramalan jangka sederhana, 60% penganalisis menjangkakan perubahan trend ke arah bawah serta permulaan fasa baru bagi kejatuhan nilai pound pada minggu hadapan. Jika bercakap mengenai analisis teknikal pula, tempoh masa H4 didominasi oleh warna hijau, namun 20% pengayun sudah pun berada di zon lebihan jualan. Isyarat pengayun dan juga indikator trend pada D1 boleh dijelaskan sebagai pelbagai arah.
    Analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menyokong ramalan bearish tetapi ia mengandaikan pasangan ini akan kekal pada julat di antara 1.2250-1.2600 untuk beberapa ketika sebelum turun dengan mendadak.
    Paras rintangan berada pada paras 1.2600, 1.2750, 1.3025, 1.3200 dan 1.3515. Paras sokongan pula berada pada 1.2250, 1.2200, 1.1800 dan 1.1450;
  • USD/JPY. Pasangan ini mengakhiri minggu lalu dengan berada pada paras sokongan/rintangan yang kuat iaitu 108.00, dan jika melihat pada EUR/USD serta GBP/USD, kebanyakan penganalisis (60%) menjangkakan perubahan arah trend dan seterusnya mengukuhkan nilai dolar. Jika ia berlaku, berkemungkinan besar pasangan ini berpeluang untuk melepasi paras 111.60-112.00 dan kemudian naik lagi 100 mata. Rintangan kuat paling hampir berada di sekitar 109.70-110.00.
    Baki 40% penganalisis yang turut mendapat sokongan analisis grafik pada H4 pula memihak kepada bear. Paras sokongan berada di zon antara 106.70-107.25 dan juga 104.70-105.00, 103.00 menjadi sasaran berikutnya dan kemudian pada 101.00 iaitu paras terendah pada 9 Mac;
  • Matawang Kripto. Indeks Fear & Greed Kripto hanya bertambah sebanyak 3 mata sepanjang minggu, naik daripada nilai 9 kepada 12, dan masih menunjukkan perasaan amat takut di pasaran. Dalam masa yang sama, bilangan carian bagi perkataan “Bitcoin” di laman Baidu dan juga Google menampakkan pertambahan sepanjang bulan lalu, dan kebanyakan pengguna dilihat amat berminat untuk membeli matawang kripto. Pertambahan bilangan carian meningkat sebanyak 138% di laman carian Baidu, manakala pertumbuhan sebanyak 57% telah dilaporkan oleh Google Trend bagi tempoh sebulan yang lepas.
    Seperti biasa, pertumbuhan nilai matawang kripto rujukan ini telah diramal oleh pelbagai jenis pakar kripto, terutama sekali sejak mereka mengenali sekutu yang amat kuat yang dikenali sebagai COVID-19 coronavirus. Penganalisis terkemuka Joseph Young menyatakan keyakinan beliau terhadap kesan positif yang diterima Bitcoin akibat daripada langkah-langkah yang diambil pihak Rizab Persekutuan AS dalam merangsang ekonomi AS. “Pihak Rizab terus mencetak wang bagi merangsang pasaran – suatu kelebihan buat Bitcoin. Penurunan nilai dolar dalam jangka masa panjang juga memberi kelebihan buat Bitcoin. Prospek jangka pendek matawang kripto mungkin agak suram, namun ianya kekal cerah untuk jangka masa panjang”, jelasnya.
    Pengasas Galaxy Digital, Mike Novogratz juga bersetuju dengan Young. Beliau yakin Bitcoin akan mengecap kejayaan ketika berlakunya krisis ekonomi global yang berpunca daripada pandemik coronavirus. “Kemeruapan Bitcoin tetap tinggi untuk beberapa bulan akan datang, namun Bitcoin dihasilkan mengikut acuan makroekonomi. Tahun ini akan menjadi tahun BTC”, jutawan itu berkata.
    Philip Salter, Pengarah Operasi Genesis Mining juga turut memberikan pendapat yang sama. Beliau percaya krisis ekonomi yang semakin mendalam akan menyebabkan populariti Bitcoin sebagai suatu alat untuk melindung nilai daripada risiko sistem perbankan akan meningkat. “Jika krisis ekonomi dapat dihentikan, tiada perubahan besar yang akan berlaku kepada Bitcoin. Namun, jika pasaran runtuh, nilai matawang kripto utama itu akan melonjak. Lebih ramai orang yang skeptik dengan ekonomi lama, lebih tinggi nilai bitcoin”, jelas pengurus ternama servis penghasilan dalam talian mengenai pendapatnya.
    Bagi ramalan minggu hadapan, pelabur terkemuka Ton Weiss begitu pasti terdapat kebarangkalian sebanyak 20-25% nilai Bitcoin akan turun di bawah $3800 iaitu paras terendah baru-baru ini jika melihat pada sebut harga semasa. Jika nilai matawang kripto utama itu berjaya melepasi paras $6800, kemungkinan ia turun ke paras tersebut hanyalah 15%. “Kenaikan melepasi paras $6800 memberikan saya 85% keyakinan bahawa nilainya tidak akan jatuh di bawah paras sekarang”, jelas Weiss. Secara umumnya, 55% penganalisis mengunjurkan pasangan BTC/USD akan bergerak ke zon di antara $7,500-8,000 dalam tempoh beberapa minggu. Baki 45% penganalisis berpendapat sebaliknya, meramalkan penurunan pasangan ini. Mengikut pendapat mereka, sekali lagi BTC/USD akan cuba untuk melepasi paras sokongan pada $5,700, dan jika berjaya, ia akan berada pada paras $5,000 selepas itu.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami