Mac 7, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Nampaknya bolehlah kita kurangkan tumpuan kepada indikator makroekonomi sekarang, di mana dahulunya ia bukan saja memberi kesan terhadap sebut harga, malah mengubah trend ke arah bertentangan. Situasi di pasaran kewangan telah didominasi sepenuhnya dengan coronavirus untuk beberapa minggu, kini bukan saja memberi kesan terhadap kesihatan penduduk, tetapi juga terhadap tindakan kerajaan serta bank-bank pusat.
    Penggubal undang-undang di seluruh dunia sedang rancak menurunkan kadar faedah mereka. Ini adalah kesan daripada keputusan mesyuarat tergempar Rizab Persekutuan AS yang pertama kali diadakan sejak krisis 2008 untuk menurunkan kadar faedah utama daripada 1.75% kepada 1.25%. Tindakan itu diambil setelah berbincang secara telesidang bersama-sama Menteri Kewangan serta bank-bank pusat negara G7 tentang polisi kewangan dalam menghadapi coronavirus Covid-19.
    Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, namun ketenangan yang dicari daripada melawan jangkitan belum kunjung tiba. Amplitud turun naik pasangan matawang asas telah merosakkan segala strategi dagangan yang terhasil pada tahun 2019 yang aman dan damai. Indeks dolar DXY rugi 1.7% sepanjang minggu lalu, walaupun dua minggu sebelum itu nilainya hampir mencecah paras tertinggi sepanjang 3 tahun.
    Bermula 1 Januari hinggalah 20 Februari 2020, nilai dolar naik sebanyak 490 mata berbanding euro, itu adalah satu angka yang memberangsangkan. Namun selepas itu, setelah membuat pusingan U, paras pasangan EUR/USD telah melonjak lebih daripada 640 mata dalam tempoh dua minggu saja! Kesemua lonjakan dan penurunan mendadak ini berlaku tanpa adanya sebarang pembetulan, menewaskan bull pada mulanya, dan kini giliran bear pula. Ketinggian “lilin” hanya untuk sehari iaitu pada hari Jumaat, 6 Mac adalah melebihi 140 mata.
    Harus diingat, secara umumnya ramalan yang dibuat minggu lalu oleh majoriti penganalisis (60%) serta disokong 70% indikator adalah tepat. Paras tertinggi pada tahun baru iaitu 1.1240 adalah sasaran yang perlu dicapai oleh pasangan ini. Walau bagaimanapun, akibat berita mengenai penurunan hasil bon 10 tahun AS sebanyak 18% pada hari terakhir sesi dagangan, pasangan ini berjaya melepasi paras rintangan, mencecah ketinggian 1.1355, dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.1300;
  • GBP/USD. Tanpa disangka, tidak kira apa yang berlaku di seluruh dunia, dan khususnya di UK, pasangan GBP/USD berulang kali kembali ke zon sokongan/rintangan 1.3000 yang ikonik untuk lima bulan berturut-turut. Perkara sama berlaku pada minggu lalu: setelah berada pada paras 1.2735 iaitu paras terendah mingguannya, nilai pasangan ini melonjak hampir 300 mata dan akhirnya menduduki paras 1.3030. Hal ini menunjukkan ramalan majoriti penganalisis (65%) yang menjangkakan kembalinya pasangan ini ke zon antara 1.3000-1.3070 adalah tepat sepenuhnya;
  • USD/JPY. Penurunan nilai dolar serta pertambahan permintaan untuk matawang lindung nilai telah menyebabkan matawang yen menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sepanjang dua minggu yang lalu iaitu sebanyak 720 mata i.e 6.4% kenaikan. Akan tetapi, ramalan penganalisis lebih berani. Akibat daripada coronavirus, mereka mengunjurkan pasangan ini akan melepasi setiap satu paras sokongan pada 107.50, 106.65, 105,.65 dan menghampiri paras terendah Ogos 2019 di sekitar 104.45. Memang benar paras sokongan tersebut berjaya dilepasi, namun pasangan ini gagal menepati sasarannya: paras terendah yang dicatat pada Jumaat, 6 Mac adalah pada 104.98, dan ia mengakhiri minggu pada paras 105.35;
  • Matawang Kripto. Kami berasa agak ragu-ragu mengenai Bitcoin sebenarnya telah menjadi aset lindung nilai yang sama seperti euro, atau lebih baik lagi seperti yen dalam ulasan sebelum ini, seperti yang dicanang ramai pakar kripto. Rupa-rupanya, kami bukan bersendirian. Jutawan, bekas jurubank di Wall Street dan juga penggemar Bitcoin Michael Novogratz berasa amat terkejut bila mengetahui sebut harga Bitcoin mengalami penurunan sama seperti apa yang berlaku ke atas dolar dan juga indeks saham pada Februari dekad terakhir ini. “Sejak bila BTC bukan lagi suatu aset untuk berlindung daripada risiko dan mula didagangkan seperti sekuriti berisiko tinggi?” Ujar Novogratz dalam Twitter miliknya. “Pedih rasanya!”. Beliau berpendapat, para pelabur yang sudah rugi dalam pasaran saham mula melakukan shorting terhadap Bitcoin dalam usaha untuk menampung kerugian yang dialami, namun akhirnya menjatuhkan sebut harganya.
    Untuk berlaku adil, perlu ditekankan bahawa matawang kripto rujukan itu telah cuba untuk memperbaiki reputasinya pada minggu lalu. Namun, ia gagal: setelah mengalami kerugian sebanyak $2,000 sejak dua minggu lalu, nilainya hanya pulih $730. Kejayaan ini berpunca daripada pertumbuhan mendadak nilai euro dan nilai yen pula agak sederhana. Justeru mungkin masih awal untuk menggelar Bitcoin sebagai satu jenis aset yang benar-benar terlindung.
    Bagi altcoin terkenal seperti Ethereum (ETH/USD), Litecoin (LTC/USD) dan Ripple (XRP/USD), kebiasaannya mereka hanya akan mengikuti apa yang dilalui pasangan BTC/USD. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto pada minggu lalu kekal hampir tidak berubah: nilai sebanyak $256 bilion, Indeks Fear & Greed Kripto Bitcoin juga hampir tiada perubahan: penurunan dari bacaan 40 mata kepada 39 mata dilihat tidak berbaloi untuk diambil kira.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. 100% indikator trend pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau. Namun 25% pengayun pada D1 menunjukkan pasangan ini telah dibeli secara berlebihan, satu isyarat kuat yang menunjukkan perubahan trend ke bawah atau pembetulan yang serius. Analisis grafik pada H4 juga dilihat menunjukkan arah yang sama. (Walaupun ada yang menyebut, coronavirus tidak akan banyak mengubah bacaan RSI, Stochastic mahupun MACD).
    Bagi analisis fundamental pula, buat masa ini situasinya agak kabur. Di satu sudut, kemungkinan kadar akan diturunkan sekali lagi pada mesyuarat Rizab Persekutuan AS 18 Mac ini hampir mencecah 100%. Tambahan pula, pengurangan ini mungkin adalah satu pusingan dalam kitaran yang baru, di mana kadarnya mungkin akan berada pada paras 0.5% atau lebih rendah lagi menjelang akhir suku kedua – Presiden Donald Trump pernah menyebut beliau akan menurunkan kadar menjadi 0% jika likuiditi tambahan disediakan untuk bank-bank persendirian serta polisi kewangan dilonggarkan sebanyak yang mungkin.
    Penurunan kadar faedah tidak memihak kepada dolar. Selain itu, hasil daripada bon 10 tahun AS mungkin akan turun sekali lagi. Namun, di sudut yang lain, situasi yang melanda Eropah adalah jauh lebih teruk. Pertama, ekonomi di Eurozone sangat berkait rapat dengan ekonomi di China. Yang kedua, jika Rizab Persekutuan mahu mengurangkan lagi kadar faedah sedia ada, ECB sudah tiada ruang untuk mengambil tindakan yang sama. Kadar deposit bagi bank-bank komersial di Euro sudahpun berada di zon merah dengan kadar -0.5%.
    Pada minggu lalu, wakil daripada ECB telah mengaku terdapat kemungkinan kadar faedah yang kini berada pada paras negatif akan diturunkan lagi. Namun, keputusan sama ada untuk berbuat demikian ataupun tidak hanya akan diketahui selepas mesyuarat penggubal dasar-dasar Kesatuan Eropah yang akan berlangsung pada hari Khamis, 12 Mac nanti.
    Bagi ramalan penganalisis pula, mereka berpendapat jika situasi coronavirus berakhir, pasaran kewangan akan kembali stabil, dan pasangan EUR/USD akan kembali ke berada di antara 1.1000-1.1100. 60% penganalisis bersetuju dengannya jika melihat pada perspektif mingguan, 70% jika melihat pada perspektif bulanan, dan 80% jika mengikut perspektif jangka panjang. Sokongan kukuh yang paling hampir berada pada paras 1.1240 dan 1.1175.
    Baki 40% penganalisis memilih penurunan berterusan dolar pada minggu depan dan pasangan ini dijangka akan berada di zon antara 1.1450-1.1500;

  • GBP/USD. Sekali lagi pasangan ini kembali ke Pivot Point jangka sederhana iaitu di zon 1.3000. Analisis grafik pada H4 menjangkakan pergerakan pasangan ini ke saluran sisi di antara 1.2869-1.3070 untuk beberapa hari berikutnya, manakala kadar turun naik mingguan yang ditunjukkan D1 pula adalah lebih luas: 1.2760-1.3170. Namun bagi kedua-dua situasi ini, pasangan tersebut kembali ke paras 1.3000 akhirnya.
    95% indikator trend serta 75% pengayun pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan peningkatan, tetapi 25% pengayun sudah berada di zon terlebih beli.
    Bagi ramalan mingguan penganalisis, adalah mustahil untuk menyebelahi mana-mana pihak – satu pertiga memilih pertumbuhan, satu pertiga lagi memilih penurunan, dan baki satu pertiga memilih pergerakan ke arah sisi. Namun, skala ini lebih memihak kepada matawang British jika kita beralih ke ramalan bulanan – 60% penganalisis percaya pasangan ini mampu mencecah zon di antara 1.1400-1.1500 menjelang penghujung Mac;
  • USD/JPY. Sudah berulang kali kami nyatakan bahawa kebimbangan pasaran terhadap epidemik Covid-19 telah memaksa para pelabur mengubah aliran tunai mereka ke aset yang lebih selamat. Pada waktu seperti inilah anda perlu melihat secara teliti terhadap dinamik Indeks Fear VIX, salah satu indeks bagi menilai unjuran turun naik pasaran saham. Secara umumnya, jika nilai VIX melepasi paras 40% dan terus meningkat, situasi panik di bursa saham akan bermula. Sejak setengah bulan yang lalu, indeks ini telah meningkat daripada 15% kepada 47%. Jika ditambah dengan penurunan nilai dolar serta kejatuhan bon kerajaan AS, amat jelas sekali dalam situasi ini matawang yen adalah pemenangnya. “Negara dengan matawang yang kukuh” – itulah gelaran negara Jepun oleh para pelabur sekarang.
    Kebimbangan pasaran juga ditunjukkan oleh bacaan alat-alat analisis teknikal. 100% indikator trend serta 85% pengayun kini berwarna merah.
    Baki 15% pengayun pula menunjukkan pasangan ini telah terlebih jual. Berdasarkan bacaan itu, majoriti penganalisis yang turut mendapat sokongan analisis grafik menjangkakan pergerakan pasangan itu ke atas. Jelas sekali bahawa perubahan trend ke atas adalah berkait terus dengan kejayaan dalam usaha menentang Covid-19. Oleh itu, ramalan untuk minggu hadapan dibuat secara berhati-hati: hanya 55% penganalisis yang memilih pertumbuhan pasangan ini. Namun ramalan jangka sederhana dilihat lebih optimis memihak kepada dolar: 80% penganalisis menjangkakan pertumbuhannya berbanding yen. Rintangan paling hampir berada pada paras 107.70, sasaran mereka adalah untuk kembali ke eselon antara 108.25-109.65.
    Zon sokongan berada di antara 104.45-105.00. Nilainya akan pulih hanya apabila kekecohan risiko dagangan ini berada pada kemuncaknya, ia pernah berlaku bukan saja pada tahun 2019 malah pada tahun 2018 juga. Jika pasangan ini berjaya melepasi paras sokongan tersebut, laluannya untuk berada pada paras terendah 2016 iaitu di sekitar 99.00-101.00 lebih luas terbuka;
  • Matawang Kripto. Secara umum, harus diingat bahawa segala yang berlaku kini berpihak kepada Bitcoin. Sebagai contoh, buat pertama kali bahagian Penyelia Kewangan Pejabat Persekutuan Jerman (BaFin) mengiktiraf matawang kripto utama itu sebagai satu instrumen kewangan. Manakala operator insuran terbesar Lloyd’s of London bersama-sama dengan syarikat baru Coinover telah memperkenalkan penyelesaian baru dalam menginsuranskan matawang kripto yang berada dalam hot wallet. Menurut mereka, pasaran digital mula rancak sejak awal tahun ini, justeru mereka menjangkakan wujudnya pedagang serta pelabur “gelombang baru”. Para penghasil juga tidak terkecuali: minggu lalu, kadar hash rangkaian Bitcoin telah mencatatkan rekod tertinggi yang baru dalam sejarah, melonjak kepada 136 exahashes setiap saat.
    Semua ini memberi kesan terhadap ramalan para penganalisis, sikap optimis dikalangan mereka semakin memuncak. 65% daripada mereka mengunjurkan pertumbuhan pasangan BTC/USD ke zon di antara $9,500-10,000 dalam masa terdekat ini, 10% pula bersikap neutral, manakala hanya 25% saja yang menjangkakan penurunannya hampir ke paras $8,250.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami