Ogos 31, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Seperti yang dijangka, rundingan antara negara-negara G7 yang berlangsung pada 24-26 Ogos tidak memberi sebarang kesan ke atas pasaran tukaran asing. Namun nilai dolar Amerika dilihat lebih kukuh kesan daripada pelbagai faktor yang lain, dan ini bertentangan dengan apa yang Donald Trump harapkan. Kami akan senaraikan sebahagian daripada punca yang ada. Pertama sekali, ia melibatkan retorik pendamaian antara AS dan China yang diharap mampu memperoleh persetujuan dalam aspek perdagangan. Selain itu, terdapat juga peningkatan dalam perbelanjaan barangan kegunaan persendirian di Amerika Syarikat (naik 4.7% berbanding 4.3% yang diramalkan) serta lonjakan hasil bon perbendaharaan AS dan juga indeks saham. Semua ini, jika ditambah dengan kelembapan inflasi di Jerman serta kenyataan yang dikeluarkan bakal Ketua ECB iaitu Christine Lagarde mengenai langkah yang mungkin diambil bagi menyokong ekonomi Eurozone (EQ), nilai dolar lebih kukuh kira-kira 200 mata berbanding euro.
    Kebanyakan penganalisis menjangkakan nilai euro akan menjadi lebih lemah dan mengakibatkan penurunan pasangan ini, serta melihat paras terendah bulan Ogos iaitu 1.1025 sebagai sasaran. Namun, data jualan runcit di Jerman yang rendah (jatuh 2.1% berbanding 1.3% yang diunjurkan) telah menolak pasangan ini ke paras yang lebih rendah, di sekitar 1.0960, diikuti sedikit lantunan semula, dan pasangan ini mengakhiri minggu tersebut pada paras 1.0990;
  • GBP/USD. Dengan sokongan yang diterima daripada analisis grafik, 70% penganalisis memihak kepada bear pada minggu lalu, mereka mengunjurkan penyusutan nilai yang akan terus berlaku ke atas matawang British ini. Ia benar-benar terjadi disebabkan oleh berita buruk yang dilaporkan mengenai Brexit. Sidang Parlimen yang dihentikan Perdana Menteri baru Boris Johnson bukan saja menyebabkan ketidakpuashatian penduduk negara tersebut, malah telah memberi kesan kepada Indeks Keyakinan Pengguna GfK, turun akibat jangkaan negara UK akan berpisah daripada EU secara paksa. Menurut Menteri Luar Ireland Simon Coveney, “Great Britain tidak mempunyai cadangan berkenaan Brexit yang boleh dipercayai”. Hasilnya, pasangan GBP/USD kerugian kira-kira 130 mata sepanjang minggu, jatuh ke paras 1.2165;
  • USD/JPY. Ucapan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell pada petang Jumaat, 23 Ogos telah menolak pasangan ini ke paras yang lebih rendah, dan disebabkan terdapat jurang dalam penurunan ini, ia mencecah paras 104.45 pada hari Isnin, 26 Ogos. Namun, seperti yang dijangka kebanyakan penganalisis (70%), nilai dolar kemudiannya berjaya mengukuhkan semula kedudukannya selepas kenyataan yang dibuat oleh Trump mengenai “perbualan telefon” yang produktif bersama China, mencapai zon rintangan yang kuat di antara 106.60-106.70 pada hari Isnin. Akhirnya, pasangan ini berada pada paras 106.25 selepas lima hari tempoh berdagang;
  • Matawang Kripto. Anda tidak boleh gelarkan situasi yang berlaku di pasaran sekarang sebagai gembira, secara jujurnya ia amat konsisten dengan ramalan kami. Jika diimbas dua minggu yang lalu, Indeks Fear & Greed Bitcoin turun ke Extreme Fear, dan 70% penganalisis memberi ramalan negatif untuk pasangan BTC/USD dengan unjuran jatuh ke zon antara $9,000-9,500. Inilah yang berlaku sebenarnya: Bitcoin mencecah paras terendah setempat iaitu $9,355 pada hari Khamis, 29 Ogos.
    Jika dilihat pada sumber berita, tiada sebab jelas mengapa penurunan ini berlaku. Kami juga dapat simpulkan, akibat tiada lagi permintaan, pelabur mula mengurangkan harganya secara mendadak dengan harapan ianya mampu menarik minat pembeli yang baru.
    Memang benar, situasi berkenaan bitcoin tidak begitu menggembirakan, namun masih sukar untuk menggelarkan keadaannya sebagai dramatik, pasangan ini masih belum melepasi paras terendah untuk bulan Julai setelah bergantung pada paras sokongan di zon $9,100. Situasi bagi altcoin yang popularitinya semakin berkurangan pula kelihatan lebih tragik. Litecoin (LTC/USD) kembali ke paras bulan Mac 2019, kerugian hampir 56% untuk tempoh 10 minggu. Kerugian yang dialami Ripple (XRP/USD) untuk tempoh yang sama pula berjumlah 50%, dan ia kini didagangkan pada nilai sama pada dua tahun yang lalu. Ethereum (ETH/USD) yang menerajui altcoin pula kerugian 54%. Bagi nilai modal pasaran matawang kripto pula, ianya jatuh sekurang-kurangnya 32% daripada $367 bilion kepada $250 bilion untuk tempoh 10 minggu yang sama.

  

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden AS dan juga pucuk pimpinan China pada minggu lalu agak menenangkan, keputusan Trump untuk menaikkan tarif bermula 1 September ini tidak akan dibatalkan. Beliau hanya berjanji untuk menunda kenaikan ini sehingga 15 Disember. Justeru, pengakhiran perang dagangan antara kedua negara ini masih tidak lagi berlaku. Masih menjadi pertanyaan, polisi mitigasi manakah yang mampu meringankan beban ini, ECB ataupun Rizab Persekutuan? Para pelabur berharap untuk mendapat sedikit jawapan terhadap persoalan ini ketika ucapan Christine Lagarde pada hari Selasa, 3 September dan juga Jerome Powell pada hari Jumaat, 6 September.
    Anda juga perlu memberi tumpuan terhadap nilai indeks PMI Caixin pada sektor pembuatan di China, ia memberi gambaran tentang darjah keyakinan perniagaan terhadap ekonomi negara ini yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 02 September. Data aktiviti perniagaan (ISM) di AS akan dikeluarkan pada hari Selasa dan Rabu, manakala seperti kebiasaannya, data pasaran buruh di Amerika akan dikeluarkan pada hari Jumaat. Mengikut ramalan, bilangan pekerjaan baru yang ditawarkan di luar sektor agrikultur (NFP) mungkin sedikit menurun, daripada 164K kepada 159K, dan ia tidak mungkin mampu memberi impak yang besar terhadap nilai dolar.
    Mengikut data ramalan, kebanyakan penganalisis (55%) menjangkakan EUR/USD akan bergerak ke sisi di sepanjang paras 1.100 antara 1.0960-1.1050 pada minggu hadapan. 25% lagi yang turut mendapat sokongan 90% pengayun serta 100% indikator trend mengunjurkan pasangan ini mampu untuk melepasi paras sokongan pada 1.0960 sebelum nilainya mencapai kesetaraan dan kemudian turun ke zon di antara 1.0875-1.0925. Baki 20% lagi percaya pasangan ini berada dalam proses pembetulan dan akan naik ke paras 1.1250. Senario ini disokong oleh 10% pengayun pada D1 yang memberi isyarat bahawa ia sudah terlebih jual. Tumpuan harus diberikan jika beralih ke ramalan jangka sederhana, bilangan mereka yang menyokong pengukuhan nilai euro meningkat kepada 60%. Dalam masa yang sama, penganalisis menantikan pasangan ini untuk kembali ke paras di antara 1.1400-1.1500;
  • GBP/USD. Buat masa ini, turun naik nilai pound berbanding dolar AS selama tiga bulan adalah 14%. Nilai ini lebih tinggi berbanding dahulu semasa Theresa May cuba untuk meratifikasikan perjanjian bersama EU di Parlimen British. Kini pengganti May adalah Boris Johnson dan sumber tersebut dijangka akan melakukan Brexit secara paksa.
    Seperti sebelum ini, mengikut situasi semasa, kebanyakan penganalisis (60%) tidak menjangkakan sebarang berita baik datang daripada pound. Analisis grafik pada H4 dan juga bacaan sebanyak 90% ke atas indikator pada H4 dan juga D1 bersetuju sepenuhnya, ia berpendapat sekali lagi pasangan ini akan cuba untuk melepasi paras terendah pada 12 Ogos, 2019 - 1.2015. Analisis grafik pada D1 menunjukkan terdapat kemungkinan pasangan ini akan turun ke kedudukan yang lebih rendah - paras terendah Oktober 2016 iaitu 1.1945. Paras sokongan paling hampir adalah pada 1.1260;
    Baki 40% penganalisis yang turut mendapat sokongan 10% pengayun percaya pasangan ini telah terlebih jual dan mereka menjangkakan ia akan kembali ke paras pada julat antara 1.2420-1.2550. Ramalan mereka diperkuatkan lagi oleh harapan terhadap hasil rundingan yang positif bersama EU mengenai Brexit;
  • USD/JPY. Statistik ekonomi Jepun yang lemah, dan perang dagangan antara China dan juga Amerika Syarikat yang sedikit reda telah menyebabkan kurangnya minat terhadap yen. Disebabkan itu 70% penganalisis berpendapat pasangan ini akan terus bertumbuh ke paras antara 107.00-107.70. Menurut analisis grafik pada D1, sasaran seterusnya adalah pada 108.75.
    Bagi pendapat yang berbeza, bear memberikan hujah berkenaan penurunan spread hasil bagi bon selama 10 tahun di Jepun dan Amerika Syarikat sebanyak 135 mata sejak November 2018, dan nilai yen yang lebih kukuh berbanding dolar sebanyak 7% (114.5 kepada 106.00). Tambahan lagi, trend pengukuhan ini akan terus berlaku. Tugas paling penting sekarang adalah untuk melepasi paras sokongan pada 104.80. Bagi jangka sederhana, jika semua itu berlaku, matawang Jepun tersebut mungkin mampu mencapai paras yang amat bermakna iaitu 100.00;
  • Matawang Kripto. Satu kenyataan yang tidak disangka-sangka telah dibuat oleh Ketua Bank of England, Mark Carney, semasa berucap di persidangan ekonomi di Jackson Hole (USA). Ucapan beliau bersifat negatif berkenaan hegemoni matawang Amerika dan juga prospek akan munculnya rizab yang lain, seperti yuan China. Ketua perbankan UK itu berkata dolar seharusnya ditukar menjadi suatu bentuk matawang kripto yang menyerupai Libra, sebuah matawang yang baru-baru ini dilancarkan oleh Facebook. Tiada siapa boleh mengetahui jika impian beliau itu akan menjadi kenyataan, namun setakat ini, jika dibandingkan antara dolar, yuan, Libra, dan juga matawang di tempat asal beliau iaitu pound, matawang dolar yang beliau tidak gemari itulah yang akan menjadi pilihan.
    Seperti yang dinyatakan di atas, pasangan BTC/USD hampir mencecah paras terendah bulan Julai pada nilai di sekitar $9,100 minggu lalu. Sebelum ini, Bitcoin telah menerima sokongan dan berhempas pulas pada paras $11,080 pada mulanya, dan kemudian pada paras $12,320. Kebarangkalian perkara sama akan berlaku kini bergantung pada institusi pelaburan utama. Bitcoin juga boleh disokong dengan pelancaran Bakkt, ekosistem kripto yang dihasilkan oleh Intercontinental Exchange (ICE). Jika paras sokongan $9,000-9,100 gagal membantu, pasangan ini berkemungkinan akan turun ke zon antara $7,450-8,200.
    Namun kedua-dua keadaan tersebut tidak membawa berita gembira kepada altcoin. Jika nilai Bitcoin turun, keinginan pelabur terhadap pasaran matawang kripto secara keseluruhan juga akan jatuh. Jika nilai Bitcoin bertambah, bolehlah kita simpulkan bahawa tukaran altcoin kepada matawang kripto rujukan akan aktif semula.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami