Disember 28, 2018

Rangkuman: Tahun 2018

Seperti biasa, penganalisis di Deutsche Bank membuat rumusan pada penghujung bulan Disember. Hasilnya sangat mengagumkan, dan terdapat sedikit konotasi negatif. 93% dari kesemua aset jatuh jika dibandingkan pada Januari 2018, malah nilai ini lebih teruk dalam tempoh 118 tahun kebelakang, hingga melepasi paras 84% yang dicatat pada tahun 1920.

Penganalisis berkata punca utama kegawatan yang bakal berlaku adalah “polisi kewangan yang terlalu longgar”, mengakibatkan ekonomi perlu diperketatkan. Pertambahan kadar faedah di AS sebanyak empat kali oleh Rizab Persekutuan AS sudah cukup untuk menyebabkan kebanyakan pasaran turun menjunam, sehingga menyebabkan kemelesetan yang berpanjangan. Presiden AS Donald Trump secara terbuka menggelar Jerome Powell, Pengerusi Rizab serta rakan sejawat beliau gila kerana tidak menghentikan kenaikan kadar faedah. Namun Presiden itu tidak dapat mempengaruhi pihak bank, dan pada 19 Disember, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menaikkan kadar sebanyak 0.25% lagi. Tambahan lagi, hanya dua orang ahli Jawatankuasa ini yang melihat kadar dinaikkan sebanyak 2.5% pada tahun 2019, enam orang daripada mereka mengunjurkan 2.75%, empat orang pada 3.25%, tiga orang pada 3.30%, dan dua orang ahli FOMC yang ingin kadarnya naik sebanyak 3.6%!

Hasilnya sangat jelas: pada penghujung tahun, semua yang diunjur akan jatuh telah mengalami penurunan. Purata Industri Dow Jones telah melalui bulan Disember paling teruk sejak Zaman Kemelesetan yang berlaku pada tahun 1930. Mengikut perkiraan Bloomberg, penurunan ini telah menyebabkan kerugian sebanyak $ 511 bilion terhadap 500 manusia paling kaya di dunia, dan yang paling terkesan ialah pengasas Facebook Zuckerberg, beliau kerugian $23 bilion.

Bagi pasaran bursa asing pula, euro dilihat kukuh berbanding dolar AS pada permulaan tahun 2018. Pada 16 Februari, pasangan EUR/USD mencapai paras tertingginya iaitu pada 1.2555. Tetapi selepas terdapat perbezaan polisi kewangan antara pihak Rizab AS dan ECB, disusuli oleh kesukaran akibat perjanjian berkenaan Brexit, masalah di Itali dan juga situasi ekonomi yang perlahan secara keseluruhannya di Eurozone, telah memberikan kelebihan kepada dolar, dan akhirnya pasangan ini mengalami penurunan, mencecah paras terendah 1.1215 pada pertengahan November.

GBP/USD mengalami turun naik yang hampir serupa. Ia mencapai nilai maksimum 1.4375 pada 17 April, dan nilai minimumnya pula telah direkodkan pada 12 Disember selepas pasangan ini jatuh ke paras 1.2475, rugi sebanyak 1,900 poin dalam tempoh lapan bulan.

Bagi yen Jepun, pelabur melihat matawang ini sebagai simpanan selamat jika perang dagangan antara AS dan China menjadi lebih teruk. Walau bagaimanapun, oleh kerana tiada perkembangan khusus yang berlaku sehingga kini, pasangan USD/JPY mengakhiri tahun dengan berada hampir pada Pivot Point dua tahun lalu iaitu di zon 111.00. Ini bermaksud pasangan ini kerugian 200 poin jika dibandingkan pada permulaan tahun 2018.

 

Yang Bakal Berlaku: Tahun 2019

Menurut sebilangan penganalisis, semua yang berlaku pada tahun ini adalah permulaan bagi kegawatan ekonomi yang berpanjangan. Pertama sekali, ramalan tertumpu kepada Amerika Syarikat, yang mana hasil bagi bon-bon Perbendaharaan dwi tahunannya menurun, dan hasil bagi sekuriti untuk tempoh sepuluh tahun yang hampir sama juga turun ke paras terendah dalam masa tujuh bulan, menjadi tanda kemelesetan ekonomi bakal berlaku.

Walaupun pihak ECB telah meminda ramalan mereka mengenai penurunan kadar inflasi dan juga pertumbuhan ekonomi, situasi di Eurozone kelihatan lebih baik. Perang dagangan yang dimulakan Presiden Trump pada tahun sebelumnya tidaklah seteruk seperti yang dijangka. Namun, kedua-dua matawang Eropah serta pound British masih dipengaruhi oleh masalah berkaitan dengan Brexit.

Dalam isu lain, perjanjian damai selama 90 hari antara Amerika Syarikat dan China akan berakhir tidak lama lagi, dan ini menambah lagi ketidaktentuan terhadap kadar tukaran dolar.

Ramalan yang dibuat para penganalisis dari bank-bank serta agensi terkemuka dunia adalah hampir serupa dalam kebanyakan aspek.

Ramalan Bloomberg adalah berasaskan dinamik positif ke atas eksport Kesatuan Eropah, situasi yang lebih baik dalam industri automatif di Jerman dan juga pertumbuhan pendapatan purata yang lebih pesat. Kesemua ini mampu menjadikan polisi kewangan di Eurozone kembali normal serta pertumbuhan euro ke paras $1.20 pada penghujung tahun.

Morgan Stanley turut menjangkakan tahun 2019 adalah tahun yang sukar buat dolar dan mencadangkan agar jualan dolar ke atas euro dibuat walaupun inflasi diramal akan berlaku di Eurozone. Sasaran paling hampir bagi pasangan EUR/USD adalah di zon $1.18.

Harus diingat, dalam banyak-banyak perkara, penganalisis membuat ramalan lebih optimis untuk euro bagi tempoh 3 bulan seterusnya. Societe Generale dan CIBC Capital Market meramalkan ia akan berada di paras $1.17, ramalan TD Securities pula pada $1.18, Unicredit meletakkannya pada $1.19, dan akhir sekali, Lloyds Bank meletakkan tanda arasnya pada $1.24.

Namun, terdapat juga pendapat yang sebaliknya. Penganalisis di Citi percaya bahawa matawang Eropah masih belum mencecah nilai terendahnya, dan ia mungkin akan turun sehingga ke $1.13 pada penghujung suku pertama 2019, dan hanya selepas itu ia akan naik semula hingga mencapai paras $1.18 pada setengah tahun kedua. Barclays Capital mengunjurkan penurunan ke paras $1.12 pada 31 Mac, dan untuk ramalan ING Group pula, paras terendah matawang ini adalah pada $1.11.

Penganalisis di JPMorgan Chase juga percaya bahawa kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dijangka akan berlaku pada tahun 2019, disebabkan oleh rangsangan fiskal Presiden Trump yang akan berakhir, serta polisi kewangan oleh pihak Rizab yang tidak lagi memihak pada wang murah – keadaan ekonomi yang mengalami kadar faedah rendah dan paras harga yang tinggi. Justeru, kadar pertumbuhan ekonomi di Eurozone akan berlaku, dan pertumbuhan euro akan mula diunjurkan pada kadar faedah lebih tinggi berbanding jangkaan ECB, tetapi ia hanya akan berlaku pada setengah tahun kedua 2019.

Jika dilihat pada nombor, ramalannya adalah seperti berikut: penurunan ke paras $1.11 pada suku pertama dan naik ke $1.18 pada penghujung suku keempat 2019.

Bagi GBP/USD, ramalan JPMorgan Chase menjangkakan pertumbuhan matawang British ke paras $1.30 pada suku pertama dan $1.37 pada penghujung tahun, jika isu mengenai Brexit berakhir (40% kemungkinan). Jika tiada Perjanjian yang dibuat pada terma untuk meninggalkan EU, nilai pound sterling akan turun sebanyak 10%, dan jika Brexit dibatalkan, ianya akan bertumbuh sebanyak 10%.

Melihat masa hadapan, ramalan mengenai yen adalah negatif. Bagi setengah tahun pertama 2019, pasangan JPY/USD diunjurkan bertumbuh ke paras 112 yen bagi setiap dolar pada awalnya, dan kemudian pada nilai yang sama pada tahun 2016 iaitu 118.00. Penganalisis menjelaskan semua ini berlaku kelemahan matawang Jepun akibat pertambahan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat Jepun dan juga imbangan perdagangan yang semakin membimbangkan. Kadar sebaran juga dijangka akan meningkat yang akan memburukkan lagi kadar yen.

Trend yang hampir serupa diramal oleh penganalisis Citi. Pada pendapat mereka, GBP/USD diunjur akan bertumbuh antara 1.26-1.30, dan JPY/USD pula antara 113.00-115.00.

 

John Gordon, NordFX



Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami